Istighfar (Mohon Keampunan)
APABILA fikiran terganggu atau jiwa tidak tenteram, maka jangan lupa menyebut astaghfirullah'azim. Begitu juga jika ditimpa penyakit, kehidupan berasa sempit, khuatir menjadi lemah dan inginkan kekuatan dan apabila melakukan kesalahan, maka segeralah beristighfar. Sesungguhnya beristighfar itu adalah kunci rahmat Allah. Tujuan dan fadilatnya amat besar. Hakikat dan ganjarannya tidak terkira. Mengapa kita beristighfar? Kita adalah hamba-Nya yang tidak sunyi daripada kesilapan. Kita berusaha sedaya upaya untuk mengerjakan kebaikan tetapi tersilap juga. Yang demikian, kita beristighfar sebagai cara mengiktiraf diri, sebagai makhluk yang dijadikan-Nya dan hidup semata-mata untuk menyembah-Nya. Kita beristighfar semoga sentiasa beroleh niat baik-Nya. Jika kita telah mengerjakan kebaikan, maka kita akan diberi pahala. Tetapi apabila kita melakukan kesalahan, kita hendaklah segera memohon keampunan-Nya. Ini adalah satu pengiktirafan bahawa sesungguhnya sifat sempurna itu adalah milik Alla...