KEMULIAAN MALAM LAILATUL QADAR

Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan di mana ALLAH S.W.T. meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis no: 1079.Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar. Padanyalah diturunkan al-Qur’an yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam. Firman ALLAH S.W.T:

“Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” – Surah al-Qadr: 1-5.
Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Apakah itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu.

Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Sya’ban merupakan malam di mana ALLAH menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:

“Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku.” – Surah al-Dukhan: 3-4.

Menurut tafsiran ‘Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Qadr yang telah penulis paparkan sebelum ini.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:
“ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:
“Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.” – Surah al-Qadr:

1. Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah: 185.

Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada ‘Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan.” – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

“Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-’Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.

Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.

Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban.” – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.

Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah tersebut tidak ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w mahupun para al-Salafussoleh dan sewajarnya dinilai semula oleh semua pihak. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bid’ah dan semua bid’ah itu menyesatkan.” - Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, no: 867.

Bilakah Berlakunya Lalitaulqadar?


Sabda Rasulullah s.a.w:
“Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2017.
Sabda Rasulullah s.a.w :

“Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Namun demikian Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan menggandakan ibadah baginda maka amalan sebeginilah yang afdal untuk diamalkan kita semua. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang untuk melakukan ibadah sambil beriktikaf di masjid. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h:

“Dari segi bahasa, iktikaf bermaksud membatasi diri pada sesuatu. Sedangkan menurut pengertian syarak, ia bermaskud individu tertentu menetap di dalam masjid dengan cara khusus (menepati sunnah).” – Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fath al-Bari, jil. 11, ms. 538.
Ketika beriktikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain amalan yang soleh.

Aisyah r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

“Sesungguhnya Nabi s.a.w biasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadani sehingga ALLAH mewafatkan baginda.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih nya, no: 2026.

Aisyah r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.
Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

“Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU.” – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya.
Selain dari itu, dianjurkan kan juga untuk berdoa sebagaimana dikhabarkan dari ‘Aishah r.a dia berkata:

Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan. Rasulullah menjawab:
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku. - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 3840

Semoga Ramadan pada tahun ini kita semua dapat mendapat malam lailatuqadar dan kita dapat mengisi sepanjang bulan ini dengan amal-amal ibadah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. serta mengerjakan amal-amal soleh. Lantaran dari itu semoga kita semua dapat menikmati segalan ganjaran pahala seperti yang telah dijanjikan oleh ALLAH S.W.T. kepada hambanya yang taat kepada perintah-NYA.

Ada golongan yang menyatakan bahawa puasa bagi golongan yang tinggi makamnya adalah mereka yang berpuasa semata-mata ikhlas kerana ALLAH S.W.T tanpa menginginkan ganjaran pahala tersebut. Ternyata pemikiran sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sememangnya amal ibadah kita perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pada masa yang sama bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mencita-citakan ganjaran pahala serta syurga daripada ALLAH S.W.T.. Buktinya ALLAH sendiri telah berfirman:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa – ‘Aali Imraan (3) : 133

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan kita untuk mengharapkan ganjaran daripada ALLAH S.W.T. sebagaimana sabdanya:

“Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Ibuani: ya Allah bantu hambaMu ini… Aku sgt ingin bertemu malam yg istimewa ini… Ku harap diriku diantara yg dipilih… Aminnnn



Comments

Popular posts from this blog

BERUBAH & TETAP ISTIQOMAH

CELIK EMAS... :)

DOA MEMULAKAN PEKERJAAN